::Sesiapa berTAQWA kepada Allah, nescaya Allah akan berikan jalan keluar dari segala masalah dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan ( yang dikehendaki ) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu::
::

Monday 3 November 2014

Coretan pengalaman 5 - Abaya



Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Coretan pengalaman di bumi Nabi
Catatan ini ditulis bertujuan untuk dijadikan kenang-kenangan dan juga perkongsian pengalaman. Semoga menjadi manfaat buat diri dan yang membacanya...

Pakaian wanita di bumi Madinah. 

Setiap kali ingin keluar daripada rumah kami akan mengenakan pakaian serba hitam dan berniqab. Pakaian serba hitam ini menjadi adat dan budaya di sini. Jika ke pasaraya boleh dikatakan semua wanita berpakaian hitam, kecuali di Masjid Nabawi kerana di Masjid Nabawi terdapat jemaah dari pelbagai negara dan pelbagai jenis pakaian tradisi dipakai.

Pakaian hitam yang dipakai dikenali sebagai abaya. Sifat abaya bagi orang arab adalah berwarna hitam. Saya sendiri sudah jatuh cinta dengan abaya kerana sifatnya yang gelap dan selesa dipakai.

Jika ingin keluar rumah perlu bersama mahram (suami/kawan/keluarga). Pengalaman yang seronok tinggal di bumi Madinah adalah boleh dikatakan 100% berpakaian menutup aurat dan muslim. Seolah-olah tinggal di dalam sebuah keluarga besar.
Firman Allah :

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ:الحجرات10
"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujuraat:ayat 10)

 Admin di foodcourt pasaraya hyper panda Madinah

Berpakaian dengan mengikut syariat akan membuatkan diri kita merasa lebih selamat ketika berada  di luar rumah. Islam adalah cara hidup.

Antara ciri-ciri Islam adalah thabat  wa murunah. Secara ringkasnya, thabat : tetap dari sudut hukum sesuatu perkara. Manakala murunah : fleksibel. Menterjemahkan ciri-ciri Islam ini di dalam diri kita antaranya dari aspek pemakaian kita selaku seorang muslim iaitu hukum menutup aurat adalah wajib manakala cara mengayakan (fesyen) adalah bersifat fleksibel selagi tidak bertentangan dengan tuntutan Islam.


 Minuman kegemaran saya dan suami. A'sir (jus)


 Susu tamar, sebiji rasa macam air cendol. Boleh lah minum saat rindukan cendol Malaysia ^_^


foodcourt hyper panda Madinah


foodcourt hyper panda Madinah



Sunday 2 November 2014

Coretan pengalaman 4 - 'Bulatan ilmu'

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum wbt

Coretan pengalaman di bumi Nabi

Hari ini 03/11/2014 bersamaan 10 Muharam 1436H adalah hari yang disunatkan untuk berpuasa bagi umat Islam. Afdhalnya puasa pada 9 dan 10 Muharam atau pada 10 dan 11 Muharam. 

Kisah dan peristiwa mengenai bulan Muharam banyak diceritakan di dalam kitab-kitab sirah nabawi. Dua hari yang lepas kami zaujah-zaujah (isteri) membuat 'bulatan' ilmu (usrah) untuk mengisi masa yang terluang dengan perkongsian ilmu dan pengalaman di samping mengeratkan ukhuwah.

Antara perkongsian ilmu tempoh hari adalah mengenai hadis ke 7 : 'addinu nnasihah' sedutan salah satu hadis di dalam himpunan hadis 40. 

Selain itu, kami juga berkongsi pengalaman dan mengutip ibrah daripada ibadah haji yang baru sahaja selesai dilaksanakan oleh sebahagian daripada kami yang tinggal di bumi Madinah. 

Alhamdulillah, dengan rezeki yang Allah beri, saya juga dapat melaksanakan ibadah haji pada tahun ini dengan mengambil amanah saudara seislam yg mengamanahkan untuk melaksanakan badal haji buat ayahandanya yang telah meninggal dunia. Mungkin coretan pengalaman 'melaksanakan haji muda' saya akan coretkan di lain coretan.

Terlalu banyak pengalaman indah dan tentu sahaja memberi kesan pada diri. Antara ibrah ibadah haji adalah nilai pengorbanan, kesabaran, ketaatan dan banyak lagi. Selain itu, antara kesan mendapat haji mabrur adalah seseorang itu akan menjadi lebih baik dari sebelumnya dari sudut amalan, perbuatan dan peribadi. Seseorang yang mengerjakan haji, dan sekembalinya daripada ibadah haji diibaratkan seperti kanak-kanak yang baru lahir, yang mana dia diibaratkan suci dan 'bersih'.


 ~Dataran Masjid Nabawi lengang selepas selesai ibadah haji~

Alhamdulillah, 'bulatan' ilmu memberi ilmu dan menjadi medan muhasabah diri. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah atas nikmat ini.
~Bersambung~


 ~Bersahur~